15 December 2009

Masa.....






"Umi kenapa orang kata masa itu emas?"

Tiba-tiba Umairah bertanya ketika kami sama-sama sedang dalam perjalanan nak balik ke kampung. Umairah antara anak yang paling suka bertanya benda yang mencabar pemikiran kami suami isteri.

"Merah, masa diibaratkan macam emas sebab nak menunjukkan betapa mahalnya nilai masa tu, malah masa lebih mahal dari emas sebanrnya,"

Jawab saya dan membiarkan Umairah berfikir lagi...

"Kenapa masa lebih mahal dari emas umi?,"

Itulah pertanyaan yang saya harapkan keluar dari mulut Umairah.

"Sebab emas masih boleh di jual beli, tapi masa yang berlalu tak mungkin datang lagi, contohnya, cuba Merah fikir Merah dapat tak ulang balik hari kelmarin, atau detik yang baru je lepas... tak dapat kan... jadi itulah nilai masa.. tak mungkin kita dapat beli atau jual di mana saja... kerana ia masa yang berlalu tak mungkin dapat kembali,"

"Oooo baru Merah faham..,"

Jawab Merah sambil mengangguk-ngangguk kepala.

Cuba menyambung lagi agar bukan sahaja Umairah, tapi semua anak-anak yang lain turut menghargai pentingnya masa ,

"Sebab tu la kita perlu cuba melakukan yang terbaik setiap hari, bukan apa, takut kita akan menyesal andai kita membuang masa sia-sia atau menggunakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah... dan jangan lupa untuk bermuhasabah setiap hari akan apa yang telah kita lakukan pada waktu yang telah berlalu. Kita pasti ada melakukan kesilapan, jadi dengan bermuhasabah, kita dapat memperbaiki ksesilapan kita untuk melalui masa-masa yang akan mendatang...,"

Kening Umairah agak berkerut dengan jawapan tu..

"Umi muhasabah tu apa?,"

"Muhasabah tu, kita duduk dan cuba menghitung balik atau memikirkan balik perkara yang telah lepas yang pernah kita lakukan.. kalau baik alhamdulillah, kalau kurang baik kita cuba perbaiki kepada yang lebih baik,"

"Oooo macam tu"

Alangkah ruginya andai masa tidak di hargai. Hargailah masa sebelum kita tiada cukup masa untuk melakukan kebaikan atau masa sudah bukan milik kita lagi. Pengisian masa yang terlalu pantas berlalu akan menentukan siapa kita disisiNya. Andai cara pengisiannya baik, maka baiklah dan begitulah sebaliknya...fikir-fikirkanlah..

Ingat 5 perkara... sebelum 5 perkara...

sihat sebelum sakit...
muda sebelum tua...
kaya sebelum miskin...
lapang sebelum sempit...
hidup sebelum mati...

"(1) Demi Masa! (2) Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. (3) Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. (Surah al-Asr: Ayat 1 – 3).

09 December 2009

"Didik Anak Jadi Pintar"... Buku Ke--3


gambar buku didik anak jadi pintar




Tingkatkan kepintaran si kecil


TIDAK tahu duduk diam, mengutip atau mengambil apa sahaja yang ditemui kemudian memasukkannya ke dalam mulut, memanjat meja atau kerusi, berlari turun dan naik tangga, meniru perkataan-perkataan yang tidak elok serta suka melakukan apa yang dilarang merupakan antara kerenah anak-anak kecil kita.

Malah perangai-perangai sebegini ada ketikanya menguji kesabaran ibubapa, terutamanya ibu yang mana lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak.

Kebiasaannya apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, ibu bapa selalu melabelkan kanak-kanak ini degil atau nakal, lantas anak kecil ini dihukum kerana perbuatan mereka yang dirasakan melampaui itu atau dengan perkataan lain tidak mendengar kata.

Sebenarnya, setiap tingkah laku kanak-kanak itu menunjukkan fitrah seorang kanak-kanak yang ingin mengetahui hakikat setiap benda atau setiap perkara yang berada di persekitaran mereka.

Rumah, adalah sekolah pertama untuk kanak-kanak dan ibu bapa adalah guru pertama kepada mereka, sebelum anak-anak itu melalui pendidikan secara formal bermula dari peringkat pra sekolah atau tadika, sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke menara gading serta peringkat pendidikan tertinggi lain.

Hakikatnya, pada usia bayi hingga enam tahun merupakan tahun-tahun penting bagi perkembangan otak kanak-kanak. Malah Islam sendiri amat menitikberatkan aspek pendidikan pada tahap usia ini.

Pada usia tersebut, otak kanak-kanak dalam keadaan kosong dan tiada pengisian, jadi ibu bapa adalah insan yang bertanggungjawab mencorak dan mewarnai perwatakan mereka supaya menjadi insan berguna kepada agama, ibu bapa dan masyarakat.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sabda Rasulullah SAW:

"Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) maka kedua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi. (riwayat Syaikhan)"

Hadis di atas ini turut disokong oleh ramai ahli psikologi yang berpendapat, pada umur tersebut itulah merupakan tahun-tahun yang penting bagi perkembangan tahap kepintaran kanak-kanak.

Semakin banyak yang diketahui maka semakin banyak yang mahu diketahui oleh kanak-kanak. Oleh itu, janganlah cepat bosan dengan kerenah anak-anak tetapi manfaatkanlah masa bersama dengan anak-anak sebaik mungkin. Waima ia dilakukan dalam suasana bersahaja atau ketika melayan mereka bermain atau semasa ibu bapa sedang menguruskan anak-anak.

Menyedari impian dan keinginan semua ibu bapa untuk memiliki anak yang pintar dan cedas maka PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. telah menerbitkan buku berjudul, Didik Anak Jadi Pintar yang ditulis oleh Rohani Sheikh Omar.

Menerusi buku ini, ibu bapa atau mereka yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak antara usia 0-6 tahun dapat mempelajari beberapa aktiviti yang dapat membantu proses membentuk pemikiran anak-anak.

Apatah lagi aktiviti yang disediakan ini begitu praktikal dalam meningkatkan perkembangan kanak-kanak seperti; aktiviti matematik, label dan warna, bahasa, sains, bermain dan permainan kreatif.

Di samping itu juga, ibu bapa akan diberikan idea bagaimana anda dan anak-anak dapat meluangkan masa yang bermakna bersama-sama. Ia merangkumi aktiviti di dalam rumah, di luar rumah, bahasa, bunyi, interaksi, perhubungan dan permainan harian.

Ia semua bertujuan meningkatkan perkembangan anak-anak dari sudut sensor motor, kognitif, mental, sosial, sahsiah, fizikal, kreativiti, komunikasi dan pelbagai perkembangan yang berguna untuk kehidupan anak-anak. Pokoknya, itulah konsep yang cuba ditekankan oleh penulis buku ini.

Petikan Dari Utusan Malaysia online. Oleh:ZUARIDA MOHYIN (10 Dis 2009)

Kandungan Buku:


Bicara Penulis

Pengenalan

Bab 1 Perkembangan dan Aktiviti Anak-anak 0 hingga 2 Tahun

Bab 2 Kehidupan Anak-anak 2 hingga 3 tahun

Bab 3 Kelasakan Anak-anak 3 hingga 4 Tahun

Bab 4 Bersedia ke Sekolah 4 hingga 5 Tahun

Bab 5 Ke Sekolah - Dari 5 Tahun ke Atas

Analisa Terakhir

Sisipan

Bibliografi


Dapatkan di pasaran! MPH, Popular dan lain-lain kedai buku.

Terima Kasih buat semua yang telah banyak memberi sokongan. .....

17 November 2009

Anda Tak Perlu Risau.... Buku Ke Dua..

atpr


Alhamdulillah, syukur buku kedua dah selamat ada di pasaran. Kat bawah ni sedikit sinopsis tentang buku ni:

Dalam menangani kehidupan ini, kita perlu kenal siapa diri kita dan kenapa kita dicipta. Siapa kita sebenarnya? Bagaimana kita hendak menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dan dugaan di dalam dunia yang terlalu banyak masalah sekarang. Masalah berkaitan dengan manusia dengan manusia dan manusia dengan pencipta yakni Allah SWT. Bagaimana semua ini perlu diseimbangkan?

Sebenarnya buku ini penting untuk mereka yang sentiasa berasa risau atau sengsara dalam melalui kehidupan yang mencabar sekarang. Ia juga sesuai dibaca di kala sendirian. Buku ini juga sesuai untuk mereka yang mahu mencari erti sebuah kehidupan.



Dan yang paling penting buku ini adalah satu perkongsian ilmu antara saya dan semua yang sudi memiliki dan membaca buku ni.

Di dalam buku ini antaranya saya ada membincangkan tentang erti sebuah kehidupan, sebuah keikhlasan, indahnya senyuman, nyatakan kasih sayang sebelum terlewat, hanya dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang dan banyak lagi yang berkaitan dengan kehidupan kita seharian...

Saya amat berharap semua yang membaca buku ini akan mendapat sesuatu yang bermanafaat untuk meneruskan kehidupan di dunia ini dengan lebih bermakna bagi kelangsungan kehidupan kita di akhirat nanti... insyaAllah.

Dapatkan buku ni di kedai2 buku MPH, POPULAR

SELAMAT MEMBACA!!! DAN TERIMA KASIH...

05 October 2009

Sakitnya Mati....




Salam bertemu kembali buat semua yang mungkin ada juga sedang menanti sambungan cerita saya...

Pagi hari raya, setelah siap berpakaian hari raya dan selesai solat sunat Aidil Fitri, kami semua pergi ke hospital untuk berjumpa ayah (Bapa mertuaku). Selesai bersalaman dengan ayah, ayah memberitahu yang dia akan ke rumah esok untuk makan lemang... Padahal dia sudah tidak mampu untuk bangun. Kuat sungguh semangat ayah. Aku katakan padanya yang aku akan membawa lemang ke hospital. Dia hanya mampu menganggukkan kepala.

Aku bersyukur, semua yang ayah pinta sempat ditunaikan anak-anaknya.

Hari Rabu (4 Syawal) aku menerima berita emak saudaraku pula sedang nazak di Hospital Kota Bharu. Aku bergegas bersama umi ke Hospital untuk menziarahinya. Ibu saudaraku sedang bertarung dengan nyawa. Selesai beberapa kali membaca yasin, aku dan umi pulang setelah berada disitu lebih kurang 3 jam. Pada pukul 12 malam ibu saudaraku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hanya Allah yang tahu hati ku. Rasa kehilangan, rasa pilu, rasa insaf dan sesungguhnya aku berperang dengan pelbagai perasaan yang tidak menentu. Tapi itulah kehendak Allah. Entah esok atau lusa kita semua pasti akan menyusul pula... Ya Allah!!!

Keesokan harinya aku pergi ke rumah ibu saudaraku untuk menziarahinya buat kali terakhir...

Petangnya pula sepupuku diijabkabulkan dalam suasana cukup sederhana. Hati kami masih sayu dengan kehilangan ibu saudaraku...

Malam tu kerana kepenatan, hanya suami yang pergi ke Hospital untuk menjaga ayahnya. Kebetulan adik iparku masih ada, jadi dialah yang menjaga ayahnya.

Jumaat malam, selesai solat maghrib, aku dan suami pergi ke hospital untuk menjaga ayah menggantikan kakak iparku dan suaminya yang sudah seharian duduk di wad menjaga ayah. Pada mulanya, ayah seperti biasa je. Tapi lebih kurang pukul 9.00 malam, ayah mula kelihatan gelisah dan mula meronta-ronta kesakitan. Tiba-tiba keluar dari mulut ayah "Kalau sakit macam ni, matilah ayah malam ni,". Aku terkejut sebab sebelum ni ayah tidak pernah berbicara begitu. Misi dan doktor pula sibuk cuba membantu sedaya upaya, dan akhirnya doktor memberitahu aku dan suami ayah sudah tidak ada harapan. Ayah cuma menunngu masa untuk menghembuskan nafas terakhir. Suamiku memanggil kakak ipar dan suaminya yang mungkin baru hendak berehat. Inilah pengorbanan terakhir. Aku yang pada mulannya mahu pulang, mengambi keputusan untuk berada disitu sampai pagi esoknya. Oh Tuhan! aku tidak pernah berhenti menyuruh ayah mengucap dan menyebut nama Allah. Alhamdullillah sampai ayah sudah tidak dapat berkata-kata lagi lebih kurang pukul 5 pagi, itulah perkataan yang disebutnya. Kaki ayah sudah semakin sejuk. Sesejuk ais.

Aku teringatkan allahyarham ibu saudaraku pun begitu. Ya Allah! sakitnya sakaratull maut, hanya orang yang berada disisi dapat melihatnya. Aku takut ya Allah! Bagaimanakah pula aku nanti untuk menghadapi ini semua. Ampunkan aku ya ALlah, Mudahkanlah aku untuk menghadapinya!

Lebih kurang pukul 8.30 pagi sabtu, ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Suamiku sempat memandikan ayahnya. Menyembahyangkannya sebelum di bawa balik ke kampung di Pahang untuk disembahyangkan sekali lagi...

Di sini aku mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada anak-anak ayah yang begitu tulus menjaga ayah mereka selama ayah sakit. Bagaimanalah pula nasib kita nanti, andai kita berada dalam keadaan begitu, adakah insan yang bernama anak akan menjaga kita... Sama-samalah kita berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh- solehah yang tahu mengenang jasa orang tua.

Terima kasih juga buat semua kakitangan terutama Doktor dan Nurse Wad 2 Intan, HUSM yang telah menjalankan tugas dengan cukup baik dan ikhlas. Hanya Allah yang mampu membalas segalanya.

Mati itu pasti, sudahkah kita bersedia untuk menghadapinya..

Semoga Roh ayah dan semua muslimin muslimat yang telah pergi di tempatkan bersama para solihin... Amin... Al-Fatihah.

30 September 2009

Hari Raya dan Hari Ujian.....




Salam,

Rasanya masih tidak terlewat untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN buat semua yang sudi hadir ke blog ni. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan.

Hari raya tahun ni memang banyak mencabar kekuatan hati saya dan keluarga sebenarnya. Malah sejak awal puasa lagi kami diuji dan terus diuji. Tapi alhamdulillah semuanya kami lalui dan hadapi dengan redha tanpa sedikit pun rasa kesal di hati.

Pada waktu awal Ramadhan, bapa mertua saya mula diserang sakit kanser ususnya yang agak kritikal. Sudah hampir dua tahun lebih dia menderita sakit ni, tapi kini sakitnya semakin teruk. Suami saya terpaksa balik ke kampung untuk membawa dia ke Hospital USM Kubang Kerian. Saya dan anak-anak ditinggalkan di Klang. Saya terpaksa menguruskan anak-anak sendiri. Anak kedua saya, Nur Syarah pula akan mengambil peperiksaan UPSR ketika itu jadi kami tak boleh balik untuk melihat keadaan bapa mertua saya. Saya cuma berdoa agar Allah memberi kesempatan untuk kami berjumpa.

Ketika hari raya akan menjelma dua hari lagi, suami pulang untuk mengambil kami pulang ke kampung di Pahang. Suami kata jika bapa mertua saya boleh balik dari hospital, kami akan beraya di kampungnya di Pahang. Saya pasrah, tak kisah di mana saja kami akan beraya, yang penting semuanya dalam keadaan yang baik terutama bapa mertua saya.

Bila kami sampai di Kuala Lipis, Pahang, suami saya menelefon HUSM.... Bapa mertua saya tidak dibenarkan balik. Dia terpaksa beraya di Hospital. Kansernya semakin merebak dan tekanan darahnya jadi tidak menentu.

Kami terus balik ke Kelantan, rumah ibu dan abah saya. Kesian suami, hasratnya untuk beraya dikampungnya tidak kesampaian. Malam tu suami ke hospital untuk melihat bapa mertua saya. Saya tak pergi kerana terlalu letih. Saya bercadang untuk pergi keesokan harinya. Tapi pada pukul 1 pagi, suami menelefon saya mengatakan ayahnya sedang tenat, saya segera mengambil wudhuk dan terus ke HUSM dengan menaiki kereta adik saya sendirian. Keadaan bapa mertua saya memang agak serius. Malam tu saya bersahur di hospital.... Nasi goreng yang dibeli suami susah untuk saya telan bila mengenangkan keadaan bapa mertua saya. Ibu mertua saya dan adik beradik suami semuanya dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk melihat keadaan bapa mertua saya.

Jika nampak anak bulan Syawal malam ni, bermakna hari ni adalah hari terkahir berpuasa.... Nampak gayanya semua adik beradik suami saya dan ibu mertua terpaksa beraya di Kelantan. Inilah ketentuan Allah yang tidak pernah kita sangkakan. Kadang-kadang benda yang tidak pernah kita terfikir pun boleh terjadi andai itulah yang terbaik untuk kita:

“ Sesungguhnya urusanNya bila DIA mengkehendaki sesuatu, DIA hanya berkata kepadanya ‘jadi!’ maka jadilah ia” Surah Yasin ayat 82.
Siapalah kita untuk menghalang setiap ketentuanNYA...

Saya akan sambung kisah seterusnya di post akan datang InsyaAllah...... Tunggu ya... Jumpa lagi..

10 September 2009

Siapalah diri kita.....

Assalamualaikum!

Selamat berjumpa kembali.

Dalam kesibukan alhamdulillah masih sempat menjenguk beberapa blog yang dapat menambah ilmu yang bermanafaat untuk diri ini. Antara blog yang banyak membantu adalah blog ustaz Zaharuddin http://www.zaharuddin.net/... Dah lama blog ini menjadi sumber rujukan terutama bab pelaburan, kekeluargaan, fekah wanita dan pelbagai lagi. Memang terlalu banyak membantu. Terima kasih ustaz. Segala usaha untuk menyatakan yang hak itu pasti mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.InsyaAllah!

Dan blog isteri beliau pula "Mencari dan terus mencari cinta Ilahi" juga baru bertakhta di bookmark komputer ni. Setiap entri ada banyak pengajarannya terutama buat wanita...

Antara yang menarik dalam blog Ummu Husna ni, saya tertarik dengan tajuk entri "Mana milik kita..." ... Bukan apa ia memberi kesedaran betapa setiap apa yang kita miliki adalah sebenarnya bukan milik kita. Mungkin selama ini kita terlupa... Atau tak mahu menerima hakikat sebenar... tapi itulah kenyataannya. Hatta nafas yang kita sedut dan hembus ini pun, bila sudah sampai masanya ia akan pergi meninggalkan kita. Dan sekujur tubuh ini akan kembali kepada Pemilik yang kekal abadi.. Jadi apalah yang kita ada.. Tidak ada apa-apa melainkan iman dan amal yang akan membantu kita suatu hari nanti di sana kelak...

Bagaimana pula suami??? Anak-anak??? itu semua juga bukan milik kita... Walau kita sangat menyayangi mereka tapi andai tiba waktu perpisahan terjadi kita atau mereka juga akan pergi menemui Ilahi. Itulah sunatullah.

Tapi dalam entri Ummu Husna itu, ia lebih bermaksud kepada bab poligami... Suami bukan milik kita. Memang benar, malah benar sekali. Siapalah kita untuk menghalang ketentuan Ilahi andai itu mahuNya. Tapi perhatikan kembali kata-kata suami Ummu husna bila diajukan persoalan tentang poligami:

“Andai sebelum berkahwin buat pertama kali seorang lelaki perlu berfikir dua tiga kali, inikan pula untuk berpoligami. Sepatutnya kena fikir sepuluh kali, atau lebih lagi. Fikir berpuluh kali itu bukan untuk mencari jalan menyembunyikannya dari isteri tapi memikirkan cara pelaksanaan tanggungjawabnya” tambah suami

Dalam sebenarnya maksud kata-kata UZAR ni...

Dari komen dalam blog tersebut, ada macam-macam pendapat. Mungkin ada betulnya juga tapi pada pendapat saya kita lebih tahu kemampuan suami kita untuk berpoligami. Ia bukan sesenang yang kita sangkakan. Untuk berlaku adil bukan senang. Kesian juga kat suami kita andai bila sudah berlaku poligami, dia tidak mampu berlaku adil kepada isteri-isteri. Di akhirat nanti tak pasal-pasal jalan senget sebelah pula. Tapi andai isteri redha ok lah. Tapi ingat bukan senang untuk redha meredhai ni.. ia memerlukan mujahadah yang sangat besar. Dari pengalaman, saya pernah melihat orang yang bermadu yang cukup serasi boleh dikatakan... tapi bila ditanya, jawab salah seorang dari madu tu.. "dihati hanya Allah yang tahu.."

Jadi berfikirlah dulu semasak-masaknya sebelum melangkahkan kaki kealam poligami ni.. seperti kata UZAR diatas... "Berkahwin mungkin senang tapi perlaksanaannya yang amat susah..." Fkir-fikirkanlah..

Ini hanya sekadar pendapat dari saya yang masih terlalu banyak kekurangan dalam membentuk diri menjadi manusia yang ingin selalu mendapat kasih dan pandangan Allah. Bukan tidak suka akan sunnah Rasulullah, menghalang jauh sekali, cuma tak mahu kita tersalah langkah... wallahua'lam.

10 August 2009

Selamat berjumpa lagi...

Assalamualaikum!

Wah, dah lama tak buat posting... Bukan apa sibuk, sibuk dan sibuk dengan banyak hal yang perlu dibereskan. Sebenarnya itu tidak sepatutnya menjadi alasan. Tapi itulah realiti kehidupan, kadang-kadang kita tidak mampu untuk melakukan segala-galanya yang kita mahu.... Dan tidak semua yang kita mahu dapat kita miliki... betul tak...


Redhalah dengan apa yang telah berlaku walau perit untuk kita terima. Semuanya pasti ada hikmahnya... hanya Allah yang Maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita... yakinlah!

Ni nak cerita satu kisah.....

"Umi tahu tak kawan Merah(Nama gelaran anak saya) kena H1N1," Kata anak saya yang baru darjah tiga.

"Ya ke, habis tu dia datang sekolah ke?," Tanya saya pula

"Ya, dia datang," Jawab anak saya ringkas.

"kenapa mak ayah dia bagi datang sekolah kalau dia kena H1N1?," tanya saya lagi

"Mak ayah dia tak tahu dia kena H1N1," Jawab anak saya lagi

"Mana boleh, habis tu dia pergi check kat hospital dengan siapa?," tanya saya lagi.

"Dia kata dia pergi naik basikal sendiri...," jawab anak saya selamba...

Ya Allah... mengucap saya... budak-budak ni buat main-main pula dengan penyakit yang boleh membawa kematian.

Anyway... sama-sama lah kita berdoa agar penyakit yang sedang menular sekarang ni dihindarkan dari kita semua umat Islam dan seluruh umat manusia di dunia ini... Amin ya Rab!!!

jumpa lagi...



17 March 2009

Balik Kampung!!!

Salam,

Macam mana dengan cuti sekolah? bagaimana agenda anda sekeluaga? Saya setakat ni cuma sempat balik kampung kat kota bharu je.. Sebelum sampai kb sempat gak singgah rumah mak mertua kat kuala lipis. Tak tahu la kot2 lepas ni ada agenda lain pula.

Biasalah bila balik kampung macam2 kerja yang hendak diselesaikan. Nak buat itu dan ini sampai tak terasa masa brlalu.Rasa sekejap je masa.

kat kb ni hujan sejak saya balik hari tu lagi. Pelik gak sebab biasanya musim ni dah tidak ada hujan. kalau ada pun sekejap2 je. Ini dari malam sampai pagi. sejuk je rasa.

Mungkin dunia dah nyanyok ada orang kata. Kalau di difikir-fikir ada betulnya gak. maklum la dunia ni dah terlalu tua sekarang, mungkin sudah berada di hujung nyawa dah.Jadi apa yang saya belajar adalah, buatlah persediaan untuk akhirat secepatnya sebelum semuanya di ambil Allah dan kita sudah tiada kesempatan lagi.

Semua orang sibuk dengan kemewahan dunia. Nak jadi jutawan... Bagaimana dengan apa yang akan kita bawa untuk berhadapan dengan Allah nanti. Semua itu tak salah selagi ianya halal cuma jangan terlalu leka hingga kita terlupa akan kebahagiaan abadi kita nanti disana.

Jangan sampai kita jadi jutawan di dunia tapi menjadi orang yang bangkrup di akhirat! Wanauzubillah.

Ok.Itu sajalah untuk kali ini... Belum sarapan lagi ni.. Ops dah, tapi baru ambil buah2an... jangan lupa jaga kesihatan untuk kualiti hidup yang baik supaya dapat melakukan amal ibadah dan mencari rezeki yang halal. jumpa lagi. wassalam.

10 March 2009

PPSMI??????

Salam,

Mula-mula saya nak tanya anda setuju atau tidak dengan PPSMI (Pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam bahasa inggeris). Tak kiralah anda setuju atau tidak tapi teruskanlah baca post saya kali ini, mungkin kita boleh sama-sama fikir-fikirkan....

Bagi saya, banyak yang tidak baik dari baiknya dalam perlaksanaan PPSMI ni.. Jika anda setuju dengan PPSMI saya tidak bermaksud untuk merubah pendirian anda. Tapi cuma sekadar menyatakan pendirian saya sahaja...

APa perlunya kedua subjek ni diajar dalam bahasa Inggeris??? Sebenarnya di Malaysia ni, tidak ramai orang melayu yang fasih berbahasa inggeris termasuk guru yang kerajaan harapkan untuk mengajar anak-anak kita dalam subjek matematik dan sains dalam bahasa inggeris. Jadi kalau guru pun tidak fasih dan mahir berbahasa inggeris bagaimana pula pembelajaran hingga ke akar umbi dapat dicapai???

Bagi saya ilmu yang paling berkesan adalah yang disampaikan dalam bahasa yang betul-betul kita faham. Betul tak... Kalau tidak masakan kita semua menulis blog dalam bahasa malaysia jika tumpuan pembaca adalah orang melayu... Jaranglah orang melayu yang nak cari maklumat dalam blog berbahasa inggeris. Ada tapi tak ramai. Kalau ada dwibahasa, bahasa malaysia jadi keutamaan.. kan.. Semua Internet Marketer pun sibuk menterjemah atau menjual ebook dalam bahasa malaysia supaya orang beli dan dapat faham apa yang ditulis.

Begitu juga dengan kedua subjek ini. Pelajar akan lebih berminat untuk mendalami Subjek2 ini jika mereka faham apa yang disampaikan, tapi jika mereka tidak faham di tambah pula orang yg mengajar pun tidak faham apa yang hendak disampaikan???? Pasti ilmu yang disampaikan tidak memberi apa-apa kesan. Lebih-lebih lagi bagi pelajar melayu dikampung... Bukan ke kat kampung tu ramai orang melayu.. Saya pernah bertanya kepada seorang pelajar yg tinggal dikampung tentang perkara ini. Kata mereka, mereka tidak tahu apa yang mereka belajar. Minat mereka kepada dua subjek ini pun semakin menurun... Akhirnya jadilah minat untuk belajar pun semakin kurang.. jadilah budaya melepak... tidak cukup dengan itu buli membuli pula... akhirnya orang melayu akan terus ketinggalan kerana bangsanya sendiri.... Mahukah kita biarkan ini semua terus berlarutan dan memburukkan lagi bangsa melayu???

Kenapa terlalu susah bagi pejuang-pejuang yang berjuang untuk memansuhkan perlaksanaan PPSMI ini yang terdiri daripada saudara A Samad Said dan ramai lagi mereka-mereka yang terdiri dari ahli akademik melayu yang bukan calang2 orang. Susah sangat ke nak martabatkan bahasa ibunda ini???

Jika dilihat bagaimana Islam datang ke tanah melayu suatu ketika dulu, ia di bawa oleh pedagang-pedagang Arab. Pada waktu itu orang melayu tidak faham apa yang disampaikan oleh pedagang2 Arab ni. Dari situ lahirlah kitab kuning yang di tulis oleh orang melayu yang faham serba sedikit bahasa Arab. Dari situ juga orang melayu belajar tentang agama Islam, jika tidak mungkin Islam lambat untuk disampaikan atau sampai sekarang orang melayu tidak faham tentang Islam. Lihatlah betapa pentingnya sesuatu Ilmu itu disampaikan dalam bahasa yang paling mudah untuk kita fahami. Kesian kat anak-anak kita...

Sepatutnya mereka perlu belajar dalam keadaan yg tenang dan menggembirakan tapi jadi satu tekanan pula... Mungkin tidak semua yg tidak mahir berbahasa inggeris tapi berapa kerat sajalah.. Jadi jangan ambil mudah tentang perkara ini...

"Takkan Melayu Hilang Di Dunia"... tapi adakah orang melayu sendiri mahu bahasa melayu hilang dan dilupakan begitu saja??? Sayang seribu kali sayang... Kenapa kita harus ragu-ragu dengan bahasa melayu... Siapa yang akan mermartabatkan bahasa melayu jika bukan kita???

Saya ada beri komen dalam satu blog.. saya kata org German dan jepun pun maju, dan mereke tidak menggunakan bahasa inggeris pun untuk subjek sains dan matematik. Ada org jawab, tak apalah mereka sudah maju.. Soalan saya pula sebelum mereka maju. mereka juga seperti kita, mereka tidak menggunakan bahasa inggeris pun dulu, kini dan mungkin selamanya.

Bukan maksud saya nak ketepikan bahasa inggeris tapi cukuplah dengan mata pelajaran bahasa inggeris sahaja. ramai orang kampung yg dulu tidak mahir berbahasa inggeris, tapi berkat usaha mereka, mereka dapat masuk universiti, pergi ke luar negara dan fasih berbahasa inggeris. yang penting bahasa melayu tidak menjadi seperti melukut ditepi gantang... Hidup Bahasa Malaysia Ku Yang TerCinta...

Tulisan ini sekadar pendapat saya untuk kita sama-sama fikir-fikirkan...

03 March 2009

Kes Buli dan Seorang Mak Cik..



Salam,

Boleh dikatakan setiap hari kita semua dapat dengar tak kira dari saluran radio, televisyen atau orang bercakap pasal kes buli. Tapi kat sini saya nak ajak anda semua yang sudi datang ke blog saya ni untuk berfikir sejenak dari cerita saya ni...

Semalam saya ada terjumpa seorang mak cik yang dalam lingkungan umur 60an. Dari pengamatan saya mak cik ni bukan calang-calang orang ketika muda. Badannya tegap, cara berjalan pun agak menarik begitu juga dengan tutur bicaranya yang lancar dan educated.

Saya cuba mengorek siapa mak cik ni sebenar. Mak cik yang peramah ni pun bercerita la tentang dirinya. Katanya sewaktu dia berusia dalam lingkungan 30an, waktu tu tahun 80an, waktu tu memang ramai kaum wanita mula menceburi bidang bisnes. Dan katanya pada tahun itulah wanita mula berebut-rebut untuk menjadi 'Carier Woman'. Termasuklah dirinya. Dia bekerja kerajaan. Tak cukup dengan itu dia buat bisnes MLM. Tak cukup dengan bisness MLM dia mula menceburi bidang bisnes komoditi di peringkat 'international'. Sibuk tak usah di ceritalah katanya. Usahkan nak buat amal ibadah yang lain, Nak solat pun kadang-kadang tak sempat. Duit pun banyak la dapat.. tak terkira.. Tapi bila di hitung-hitung duit tu tak kemana sebab kos yang perlu dia bayar ketika urusan bisnes dijalankan juga banyak. Termasuk tambang kapal terbang, hotel, makan di tempat mewah, hadiah untuk customer dan banyak lagi kos yang perlu di tanggung. Dan yang paling tidak dapat dia maafkan adalah masa bersama anak-anak boleh dikatakan terlalu sedikit malah kadang-kadang tiada. Dalam sebulan hanya beberapa kali dapat bercakap dengan anak-anak. Mak cik tu kata, ketika itu hidupnya jauh sekali dari sebuah ketenangan...

Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Bisnes mak cik ni jatuh. Dia mula duduk dan berfikir. Semua usahanya tak kemana sebab hidupnya tiada ketenangan walau duit banyak, anak-anak terbiar dan hati pula jauh dari Allah.

Dia bertekad untuk berhenti dari kesibukan yg tidak memberi apa-apa baginya. Dipendekkan cerita, kini katanya dia lebih tenang bersama anak-anak, melayan cucu2 dan yang paling utama dia dapat rasakan kasih sayang ALlah. Sesungguhnya katanya 'ketenangan tidak dapat dijual beli walau harta berjuta' sekalipun.

Sekarang dia memberi perhatian kepada cucu2nya supaya tidak terabai pendidikan terutama pendidikan agama. hanya itu yang dapat menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat. Dia menasihati saya juga supaya memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak kerana katanya kesibukan ibubapalah yang menyebabkan anak-anak terbiar tanpa didikan dan terbentuklah anak-anak yang keras hati dan menjurus kepada perkara tidak baik seperti kes buli, rogol dan banyak lagi. Dia berpesan kepada saya jangan biarkan 'bibik' mendidik anak-anak kita.

Apa yang saya nak sampaikan, adalah mari kita fikir-fikirkan salah siapa jika anak kita menjadi kaki buli???? tak perlulah kita menunding satu jari ke arah sesiapa kerana empat jari lagi akan mengarah kepada kita sendiri... Fikir-fikirkan... Sama-sama kita mengambil iktibar dari kisah ini..

02 March 2009

Gambar bersama Mas Dino...




Salam,

Minggu lepas saya ada menghadiri seminar ebay yg diadakan oleh Mas Dino salah seorang IM yg saya hormati di Ipoh. Kat atas tu adalah gambar yg diambil selepas seminar tu tamat. Alhamdulillah, banyak sangat manafaat yg saya dapat dari seminar selama 3 jam tu. Walaupun saya terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke IPoh, tak rugi rasanya.

Mas Dino banyak memberikan teknik membuat ebay daripada org yg tak tahu, boleh jadi tahu apa sebenarnya bisnes ebay ni. Tahniah Mas! InsyaAllah berkat ilmu yg diberi akan memberi kesan yg positif kepada peserta.

Bagi diri saya yg belum lagi berkecimpung dalam Ebay ni, bersemangat sungguh sejak pergi ke seminar Mas. InsyaAllah saya akan bermula juga satu hari nanti.

Apa-apa pun terima kasih Mas kerana sudi menjemput akak ke seminar hari tu. Oh ya, dekat kiri Mas Dino tu Zuriati dan sebelah kanan tu Fara. Saya baru kenal mereka berdua ni kat situ tapi dah rasa mesra macam dah lama kenal. Nice to meet both of u! Thanks.

Semoga usaha kita untuk mencari rezeki yg halal akan diberkati Allah. Amin.

01 March 2009

Sambungan cerita tentang diriku....

Salam,

Nak sambung cerita tentang diriku. Dulu saya pernah bekerja sebagai seorang wartawan, kalau ada yg ingat majalah UMMI. Saya jadi wartawan kat situlah. Masa kerja kat situlah saya banyak belajar menulis. Waktu mula-mula jadi wartawan, kalau satu muka surat artikel yg dihantar kepada editor tu, suku je yg betul. Yg lain semua kena potong. Ada juga kadang-kadang artikel yg saya tulis kena buang dalam tong sampah. Sedih tu memang sedih tapi dari situ saya banyak belajar untuk terus memperbaiki cara penulisan saya. Saya memang minat menulis cuma sebelum tu tidak pernah berpeluang. Maklumlah, lepas sekolah terus sambung belajar, dalam bidang sains pulak tu. Masa sekolah saya ada gak buat penulisan. tapi lebih tertumpu kepada penulisan puisi. Banyak Puisi yg dah saya buat tapi bila dah berpindah randah, semua koleksi dah tak tahu kemana. Sayang juga sekali fikir.

Sekarang selepas buku "KEPADAMU PUTERA PUTERIKU" insyaALlah buku kedua saya akan menyusul. Tapi kali ini buku saya akan diterbitkan oleh PTS. Tajuk Buku tu...... TUNGGGGUUUUUUUUUU. Biarlah rahsia........ Nanti saya akan bagi tahu bila semua proses dah selesai ok..

Buku KEPADAMU PUTERA PUTERIKU, alhamdulillah mendapat sambutan yg menggalakkan setakat ni. Saya sebenarnya amat mengharapkan buku itu dapat dimiliki oleh seramai mungkin remaja di luar sana. Saya sedih melihat kehidupan remaja sekarang. Kehidupan mereka terlalu jauh dari cara kehidupan muslim yg sebenar. walaupun bukan semua tapi gejala tidak baik tu sedang menular dan sukar untuk dibendung lagi. Inilah salah satu usaha yg termampu saya sebagai seorang ibu mampu lakukan. Jika ada remaja yg membaca tulisan ini carilah buku itu untuk menjadi teman hidupmu dan jika yg membaca tulisan ini adalh ibubapa, belilah buku ini sebagai hadiah kepada anak-anak anda.

Saya akan terus menulis selagi ada idea yg mampu saya curahkan untuk dikongsi bersama sesiapa saja yg sudi. Saya bukan seorang yg terlalu bijak untuk menulis cuma saya ada sedikit kesedaran untuk menyampaikan selain mengharapkan ilmu itu dapat berpanjangan setelah saya tiada di dunia ini lagi.. Semoga ia dapat membantu saya di sana nanti...

Ok la, kita jumpa di lain masa pula. Jika ada kelapangan, saya akan terus menulis, insyaALlah...

Wassalam.

27 February 2009

Jom Kita Berkenalan....



Salam,

Bukan apa, blog ni saya bina pada bulan jun 2008. Tapi tak pernah bercerita pasal peribadi. Malu kot! He he he....

Saya ni manusia biasa je... tak ada apa-apa kelebihan cuma ada semangat untuk meneruskan hidup di bawah payung keredhaan Allah. Selagi nafas belum terhenti, saya akan terus berjuang untuk mencari erti sebuah kehidupan yang bermakna untuk kehidupan seterusnya di akhirat nanti... ya lah kehidupan di sini hanya persinggahan yg sebentar..

InsyaAllah 20 mac ni genaplah umurku 40 tahun! Alamak.... bila sebut angka 40, terasa benar dah lama sebenarnya aku mendiami bumi Allah ni.. Dah berapa banyak nikmat Allah yang telah aku kecapi... Subhanallah. Anak-anak pun dah besar-besar. Ada yg dah jadi remaja. Ya Allah besarnya tanggungjawab aku. Nak besarkan anak2 mungkin senang, tapi nak mendidik mereka menjadi manusia yg berguna dalam saat dunia yg mencabar sekarang bukan sesenang yg kita sangkakan. Anak-anak ni amanah Allah. Janganlah kerana salah mendidik mereka, kita tidak mencium bau syurga pula, wanauzubillah!

Anak saya 4 org. Semua perempuan. Kat rumah ada seorang je lelaki... Itulah suami ku yg tersayang...

Suami saya masih belajar lagi. buat PHD kat UITM Shah Alam dalam bidang genetik... tahun ni insyaAllah tahun akhir.Kalau tak ada aral melintang, akhir tahun ni kami akan balik kenegeri tanah tumpah darahku KELATE! Yahooooooo...

Biasa la mesti happy nak balik kampung kan.. Tu la bila difikirkan tak terasa pula umur dah 40..

Ok la ... Untuk kali ni setakat ni dulu cerita saya... nanti kita sambung pula lain kali insyaAllah...

I'm sorry.....

Kak Rohani

19 February 2009

Kenapa Yahudi sedikit tapi POWER!

Salam,

Saya ada terbaca satu artikel tentang kajian yang dibuat ke atas orang yahudi. Kajian ini dibuat oleh Dr. Stephen Carr leon. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai cendiakawan adalah dari bangsa Yahudi termasuk dalam bidang akautan, engineering, muzik, sains dan yang paling hebat adalah dalam bidang perniagaan. Kita semua pun mula sedar bila banyak antara produk di pasaran yang perlu kita boikot adalah rupa-rupanya dikeluarkan oleh orang Yahudi. Bukan setakat produk malah kedai tempat kita 'Shopping' pun adalah milik mereka seperti TESCO, CAREFOUR, STARBUCK dan banyak lagi.

Tapi apa yang saya nak kongsi dengan anda semua adalah hasil kajian tersebut sebab nak suruh kita orang Islam tiru. Tak salahkan tiru yang baik supaya kita hebat seperti mereka malah kita boleh jadi lebih hebat dari mereka sebab kita adalah orang Islam yang punya iman!

Sebagaimana yang kita tahu orang Islam lebih jauh ramai daripada orang yahudi di dalam dunia ni, tapi kenapa mereka lebih hebat dan menguasai dunia dalam apa bidang sekalipun??? Adakah ini kebetulan??? Kalau nak tahu, baca seterusnya.

Hasil tesis Dr. tersebut menyatakan orang yahudi ni sangat menjaga keturunannya. Dari awal mengandung si ibu akan bermain muzik seperti piano dan alat-alat muzik lain. Selain daripada itu si bapa pula akan membelikan buku matematik supaya si ibu dan ayah akan membuat sebanyak mungkin latihan sepanjang kehamilan. Mereka akan membawa buku itu kemana saja. Bila ditanya kenapa mereka membuat latihan tersebut, mereka katakan supaya anak di dalam kandungan menjadi genius bila dewasa nanti.

Pemakanan ketika mengandung pula mereka sangat gemar memakan kacang badam dan susu bercampur kurma. Pada waktu tengah hari pula mereka akan makan roti bersama ikan (tanpa kepala) serta salad yang digaul dengan pelbagai jenis kekacang termasuk badam. Kata mereka daging ikan sangat baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi bahan kimia yang dapat memberi kesan yang tidak baik kepada anak didalam kandungan. Katanya lagi ini adalah adat orang yahudi dan menjadi kemestian bagi mereka sentiasa memakan pil minyak ikan bila mengandung.

Ketika Dr ni diundang makan ke rumah orang yahudi, dia melihat menu, orang yahudi ni sangat suka makan ikan dan mereka biasanya tidak mencampurkan makan ikan bersama dengan daging kerana campuran keduanya akan memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan. Biasanya salad bersama kekacang terutama kacang badam mereka tidak akan tinggalkan dalam menu harian mereka.

Mereka juga akan makan buah terlebih dahulu sebelum makan hidangan utama. Kata mereka dengan memakan makanan berkabohidrat terlebih dahulu seperti nasi dan roti akan menyebabkan rasa mengantuk dan lemah fikiran untuk belajar.

Jangan sesekali merokok di dalam rumah orang yahudi kerana mereka akan menghalau anda keluar. Hasil kajian dari universiti Israel menyatakan bahawa nikotin dalam rokok boleh merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa keturunan yang cacat otak (Bodoh atau lembab!), satu penemuan yang amat dahsyat oleh saintis. Para perokok ambillah perhatian dengan info ini. Ironinya pemilik dan pegeluar rokok terbesar dunia adalah siapa??? Lu fikir lah sendiri...

DI tadika anak-anak orang yahudi pula, pemakanan mereka cukup terkawal. Makanan awal adalah kacang badam dan buah-buahan. Kanak-kanak juga diberikan pil minyak ikan. Dari segi bahasa pula mereka biasanya belajar 3 bahasa yaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dari awal lagi. Mereka juga dilatih bermain violin dan piano, ini adalah satu kewajipan. Bagi mereka bermain muzik dapat meningkatkan IQ.

dari darjah 1-6, kanak-kanak ni diajar matematik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains sangat diberi keutamaan. Hasil kajian menunjukkan IQ kanak-kanak California 6 tahun kebelakang berbanding kanak-kanak Yahudi! mereka juga sangat mengalakkan sukan memanah dan menembak kerana sukan ini melatih otak untuk fokas.

Disekolah menengah pula pelajaran sains sangat ditekankan dan mereka dilatih untuk mencipta produk. Setiap projek walau kelihatan lucu dan mengarut ianya akan diberi perhatian terutama jika ianya berupa senjata, perubatan, engineering. Idea itu akan dibawa ke universiti mereka.

Satu lagi adalah fakulti perniagaan. Mereka begitu agresif dan serius tentang perniagaan. Pada tahun akhir pengajian di Universiti , para penuntut dikehendaki melakukan projek dan mempraktikkannya untuk lulus. Setiap kumpulan (10 Orang) akan lulus hanya setelah mendapat keuntungan US1 juta! Ya itulah kenyataan kenapa yahudi dapat menguasai ekonomi dunia! dan betapa banyak produk di dunia sekarang sebenarnya adalah hasil ciptaan pelajar diuniversiti Yahudi!

Macam mana pula dengan ibadah orang yahudi? Anda pernah melihat bagaimana mereka menggoyangkan kepala apabila melakukan ibadah? menurut mereka, dengan menggoyangkan kepala dapat mengaktifkan otak dan menambahkan oksigen diotak mereka.

Dr. Stephen telah membuat kesimpulan bahawa untuk melahirkan anak dan keturunan yang bijak ia tidak boleh berlaku dalam waktu yang sekejap. Ia memerlukan masa dan mungkin perlu untuk beberapa generasi.Ia perlu bermula daripada awal ibu mengandung, cara pemakanan sehinggalah pendidikan yang berterusan.

Jadi apa ditunggu lagi... Mari kita sama-sama sebarkan maklumat ini kepada seramai mungkin umat Islam yang ramai tapi sangat lemah sekarang tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah bahawa umat Islam ramai tapi hanya seperti buih-buih dilautan...

APa yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan...

Ikhlas

Rohani

05 February 2009

Puisi Buat Mu Sahabat....

Saya cipta puisi ini untuk anak saya bagi membuat persembahan di sekolah. Jom kita hayati bersama kerana setiap daripada kita pasti ada sahabat.... Tapi sahabat sejati sangat sukar dicari...


BUAT MU SAHABAT.

Sahabat,

Hadirmu umpama malam disinari bulan,

Umpama siang disinari cahaya mentari,

Terkadang cahayamu suram,

Umpama awan mendung menutupi langit,

Tapi itulah nilai sebuah persahabatan...


Sahabat,

Kita sering diuji dan diduga,

Adakah kita bisa mengatasi segala ranjau?

Tapi semua itu pasti,

Kerana itulah warna-warni sebuah ikatan..


Sahabat,

Walau pun sakit untukku,

Berkata benarlah,

Andai aku tersilap langkah,

Jangan kau khianati erti persahabatan ini,

hanya kerana dendam dan penyakit hati....


Sahabat,

Rindu itu pasti,

Kita bertemu,

Dan kita pasti akan terpisah...

Biarlah segalanya berakhir dengan keindahan

dibawah keredhaan Ilahi,

Biarlah kita berjumpa kerana Allah,

dan berpisah kerana Allah.


Terima kasih sahabat,

Kerana sudi menjadi sahabat sejati...


Hasil nukilan,

Rohani Sheikh Omar



Share/Save/Bookmark

03 February 2009

Anda kena buang kerja??

Asaalamualaikum,

Tertarik melihat satu blog yang memberi tips untuk mereka yang di buang atau akan di buang kerja. Salah satu tips tu adalah, dia syorkan supaya balik kampung, usahakan tanah orang tua dengan menanam sayur atau apa saja yang boleh mendatangkan hasil.

Saya sangat bersetuju dengan cadangan ini. Walaupun saya bukan berasal dari kampung (kg. gak tapi kg kat bandar!) tapi suami saya berasal dari kampung. Setiap kali saya balik ke kg suami, saya agak kesal melihat tanah-tanah di sana, terlalu banyak yg terbiar... lagi menyedihkan org yang tinggal di kg pun membeli sayur dari pasar pagi. Cili padi yg sangat mudah untuk ditanam pun dibeli... entahlah apa nak jadi dengan masyarakat kita ni.. Agak menyedihkan juga org kat kg pun suka melepak tanpa membuat apa-apa aktiviti yg berfaedah. Maaf la kalau isu ini tidak benar untuk kg anda! dari apa yg saya perhatikan mereka boleh berbual dalam masa berjam-jam hingga org azan kat masjid pun mereka buat tak kisah... Depan masjid pun boleh lepak... Dalam masjid hanya tok imam dan dua tiga org je yg solat.. Subhanallah!

Kalau la masa yg ada digunakan untuk bercucuk tanam ke, alangkah baiknya.. mungkin wakil rakyat dikg2 perlu mengambil berat mengenai hal ini. Pada pengamatan saya byk sangat potensi pertanian yg mampu dilakukan oleh org kg jika mereka bersatu.

kalau nak cerita memang begitulah setiap kali balik kg, saya akan rasa kesal yg amat sangat.

Satu lagi yg menjadi persoalan adalah di kawasan Felda, kalau diperhatikan dulu susah untuk kita lihat pekerja asing tapi sekrg entah di mana org kita. Majoriti pekerja adalah org asing. Kawasan felda dah mcm negeri mereka pulak. Org kita hanya duduk goyang kaki dgn mengupah mereka2 ni menoreh getah dan mengusahakan ladang. Pelik pelik pelik...

Kat bandar pun org asing yg buat kerja... Di mana pemuda pemudi kita??? Melepak, berfoya-foya, berkhayal dan entah apa-apa lagi... Bukan muda-mudi je!

Ingatlah semua bagaimana kerajaan Islam Andalusia telah jatuh suatu ketika dulu... Jangan salahkan mereka yg merampas hak org Islam walaupun itulah agenda mereka, tapi bagaimana dengan kita yg terus terleka dan hanyut dengan dunia yg kita cipta sendiri ini... akibat terleka inilah unsur-unsur pencerobohan akan terus masuk ke negara kita.. semoga peristiwa kejatuhan negara kita ke tangan bangsa lain tidak akan berulang lagi...

Bangun bangunlah wahai bangsaku dari tidurmu!!!

Ikhlas

saya tuan empunya blog..

19 January 2009

Panduan Kaedah Pembayaran Beli Buku "Kepadamu Putera Puteriku"

Anda boleh dapatkan buku ini di kedai-kedai buku MPH, POPULAR dan kedai-kedai buku lain. Tapi jika anda mempunyai masalah untuk mendapatkan buku ini di kedai-kedai tersebut anda boleh membuat pesanan terus kepada kami.

Bayaran boleh dibuat melalui Online Banking atau tunai (pembayaran terus melalui mesin ATM) ke akaun saya seperti berikut;

Bank: Maybank (Savings Account)
Nama: Rohani Omar
No Akaun: 153038831965

Harga buku untuk Semenanjung Malaysia adalah RM11.90+ RM2.00 caj penghantaran melalui pos. Jumlah = RM13.90

Untuk Sabah dan Serawak RM14.90+ RM4.00 Caj penghantaran pos. Jumlah = RM18.90


Penghantaran buku yang dibeli akan dibuat hanya selepas anda memberikan bukti pembayaran yang boleh dibuat melalui email. Contoh email adalah seperti berikut;

Nama Anda : Fulan bin Folan
Tarikh pembayaran: ..........
Alamat : No 123 Jalan Kebun Bunga, Kuala Lumpur.
Order ID : a31fc585200710
Bank : Maybank
Jumlah : RM15.90
Bilangan buku : 1
Tel : 019 1234567

Hantar email anda ke : amoudieasyorder@gmail.com

Sebarang pertanyaan lanjut sila berhubung melalui email. Terima Kasih.

16 January 2009

Buku Khas Untuk Remaja Putera dan PuteriKU..



Alhamdulillah buku yang bertajuk "KEPADAMU PUTERA DAN PUTERIKU" hasil tulisan saya sendiri telah siap di cetak pada 15 Januari 2009. Saya amat berharap ramai para remaja yang akan berkesempatan untuk memiliki buku yang amat bermakna ini. Semoga anak-anak remaja akan mendapat manafaat daripada buku ini untuk meneruskan kehidupan yang cukup mencabar sekarang.

Dan untuk para ibu bapa, belilah buku ini untuk dihadiahkan kepada anak-anak remaja anda. InsyaAllah buku ini dapat membantu anak-anak kita menjaga diri mereka dari pelbagai godaan duniawi kini dan mengetahui halatuju kehidupan sebenar. Kat bawa ni saya sertakan sedikit sinopsis dari buku ini:

Puteriku sayang,
Tidak ada seorang lelaki pun yang melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara dengan lembut dan merayu, memberi bantuan dan layanan kepadamu, kecuali atas maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya itu adalah langkah awal untuk memerangkapmu.

Wahai puteraku,
Jangan kau biarkan dirimu menjadi korban dengan hanya kerlingan daripada seorang wanita. Perempuan yang tidak baik biasanya akan cuba sedaya upaya menggodamu dengan suara yang lembut dan merayu. Jangan biarkan dirimu dibawa arus yang pasti akan merosakkan hidupmu itu.

Putera dan puteriku,
Kamu sesungguhnya terlalu mudah jatuh cinta kerana itu adalah perkara normal kepada remaja sepertimu. Cinta yang lahir dari hati yang jujur dan ikhlas adalah tidak pernah bertentangan dengan syariat Islam...


Buku ini sesuai untuk pembacaan para remaja kerana ia mengandungi panduan dan nasihat yang boleh dijadikan amalan untuk persediaan memasuki alam kedewasaan dan rumah tangga.

Selamat membaca...

CINTA ADALAH NALURI

MEMILIKI CINTA ADALAH HARAPAN

CARILAH CINTA YANG SEJATI, YANG KEKAL ABADI...

Buku ini boleh di dapati di kedai buku MPH, POPULAR dan banyak lagi. Atau anda boleh hubungi saya di ruangan komen sekiranya ingin mendapatkannya daripada saya sendiri. Sila tinggalkan alamat email anda untuk saya hubungi. Harga buku ini adalah RM11.90 (SM) dan RM14.90 (Sabah&Sarawak).

04 January 2009

Buku Terbaru Akan Keluar Dipasaran..Nantikan



Alhamdulillah...setelah hampir 3 tahun saya menulis buku ini, akhirnya ia menjadi kenyataan. Buat pertama kalinya....buku pertama tulisan saya akan terbit dipasaran...nantikan.