05 October 2009

Sakitnya Mati....




Salam bertemu kembali buat semua yang mungkin ada juga sedang menanti sambungan cerita saya...

Pagi hari raya, setelah siap berpakaian hari raya dan selesai solat sunat Aidil Fitri, kami semua pergi ke hospital untuk berjumpa ayah (Bapa mertuaku). Selesai bersalaman dengan ayah, ayah memberitahu yang dia akan ke rumah esok untuk makan lemang... Padahal dia sudah tidak mampu untuk bangun. Kuat sungguh semangat ayah. Aku katakan padanya yang aku akan membawa lemang ke hospital. Dia hanya mampu menganggukkan kepala.

Aku bersyukur, semua yang ayah pinta sempat ditunaikan anak-anaknya.

Hari Rabu (4 Syawal) aku menerima berita emak saudaraku pula sedang nazak di Hospital Kota Bharu. Aku bergegas bersama umi ke Hospital untuk menziarahinya. Ibu saudaraku sedang bertarung dengan nyawa. Selesai beberapa kali membaca yasin, aku dan umi pulang setelah berada disitu lebih kurang 3 jam. Pada pukul 12 malam ibu saudaraku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hanya Allah yang tahu hati ku. Rasa kehilangan, rasa pilu, rasa insaf dan sesungguhnya aku berperang dengan pelbagai perasaan yang tidak menentu. Tapi itulah kehendak Allah. Entah esok atau lusa kita semua pasti akan menyusul pula... Ya Allah!!!

Keesokan harinya aku pergi ke rumah ibu saudaraku untuk menziarahinya buat kali terakhir...

Petangnya pula sepupuku diijabkabulkan dalam suasana cukup sederhana. Hati kami masih sayu dengan kehilangan ibu saudaraku...

Malam tu kerana kepenatan, hanya suami yang pergi ke Hospital untuk menjaga ayahnya. Kebetulan adik iparku masih ada, jadi dialah yang menjaga ayahnya.

Jumaat malam, selesai solat maghrib, aku dan suami pergi ke hospital untuk menjaga ayah menggantikan kakak iparku dan suaminya yang sudah seharian duduk di wad menjaga ayah. Pada mulanya, ayah seperti biasa je. Tapi lebih kurang pukul 9.00 malam, ayah mula kelihatan gelisah dan mula meronta-ronta kesakitan. Tiba-tiba keluar dari mulut ayah "Kalau sakit macam ni, matilah ayah malam ni,". Aku terkejut sebab sebelum ni ayah tidak pernah berbicara begitu. Misi dan doktor pula sibuk cuba membantu sedaya upaya, dan akhirnya doktor memberitahu aku dan suami ayah sudah tidak ada harapan. Ayah cuma menunngu masa untuk menghembuskan nafas terakhir. Suamiku memanggil kakak ipar dan suaminya yang mungkin baru hendak berehat. Inilah pengorbanan terakhir. Aku yang pada mulannya mahu pulang, mengambi keputusan untuk berada disitu sampai pagi esoknya. Oh Tuhan! aku tidak pernah berhenti menyuruh ayah mengucap dan menyebut nama Allah. Alhamdullillah sampai ayah sudah tidak dapat berkata-kata lagi lebih kurang pukul 5 pagi, itulah perkataan yang disebutnya. Kaki ayah sudah semakin sejuk. Sesejuk ais.

Aku teringatkan allahyarham ibu saudaraku pun begitu. Ya Allah! sakitnya sakaratull maut, hanya orang yang berada disisi dapat melihatnya. Aku takut ya Allah! Bagaimanakah pula aku nanti untuk menghadapi ini semua. Ampunkan aku ya ALlah, Mudahkanlah aku untuk menghadapinya!

Lebih kurang pukul 8.30 pagi sabtu, ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Suamiku sempat memandikan ayahnya. Menyembahyangkannya sebelum di bawa balik ke kampung di Pahang untuk disembahyangkan sekali lagi...

Di sini aku mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada anak-anak ayah yang begitu tulus menjaga ayah mereka selama ayah sakit. Bagaimanalah pula nasib kita nanti, andai kita berada dalam keadaan begitu, adakah insan yang bernama anak akan menjaga kita... Sama-samalah kita berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh- solehah yang tahu mengenang jasa orang tua.

Terima kasih juga buat semua kakitangan terutama Doktor dan Nurse Wad 2 Intan, HUSM yang telah menjalankan tugas dengan cukup baik dan ikhlas. Hanya Allah yang mampu membalas segalanya.

Mati itu pasti, sudahkah kita bersedia untuk menghadapinya..

Semoga Roh ayah dan semua muslimin muslimat yang telah pergi di tempatkan bersama para solihin... Amin... Al-Fatihah.

No comments: