30 September 2009

Hari Raya dan Hari Ujian.....




Salam,

Rasanya masih tidak terlewat untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN buat semua yang sudi hadir ke blog ni. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan.

Hari raya tahun ni memang banyak mencabar kekuatan hati saya dan keluarga sebenarnya. Malah sejak awal puasa lagi kami diuji dan terus diuji. Tapi alhamdulillah semuanya kami lalui dan hadapi dengan redha tanpa sedikit pun rasa kesal di hati.

Pada waktu awal Ramadhan, bapa mertua saya mula diserang sakit kanser ususnya yang agak kritikal. Sudah hampir dua tahun lebih dia menderita sakit ni, tapi kini sakitnya semakin teruk. Suami saya terpaksa balik ke kampung untuk membawa dia ke Hospital USM Kubang Kerian. Saya dan anak-anak ditinggalkan di Klang. Saya terpaksa menguruskan anak-anak sendiri. Anak kedua saya, Nur Syarah pula akan mengambil peperiksaan UPSR ketika itu jadi kami tak boleh balik untuk melihat keadaan bapa mertua saya. Saya cuma berdoa agar Allah memberi kesempatan untuk kami berjumpa.

Ketika hari raya akan menjelma dua hari lagi, suami pulang untuk mengambil kami pulang ke kampung di Pahang. Suami kata jika bapa mertua saya boleh balik dari hospital, kami akan beraya di kampungnya di Pahang. Saya pasrah, tak kisah di mana saja kami akan beraya, yang penting semuanya dalam keadaan yang baik terutama bapa mertua saya.

Bila kami sampai di Kuala Lipis, Pahang, suami saya menelefon HUSM.... Bapa mertua saya tidak dibenarkan balik. Dia terpaksa beraya di Hospital. Kansernya semakin merebak dan tekanan darahnya jadi tidak menentu.

Kami terus balik ke Kelantan, rumah ibu dan abah saya. Kesian suami, hasratnya untuk beraya dikampungnya tidak kesampaian. Malam tu suami ke hospital untuk melihat bapa mertua saya. Saya tak pergi kerana terlalu letih. Saya bercadang untuk pergi keesokan harinya. Tapi pada pukul 1 pagi, suami menelefon saya mengatakan ayahnya sedang tenat, saya segera mengambil wudhuk dan terus ke HUSM dengan menaiki kereta adik saya sendirian. Keadaan bapa mertua saya memang agak serius. Malam tu saya bersahur di hospital.... Nasi goreng yang dibeli suami susah untuk saya telan bila mengenangkan keadaan bapa mertua saya. Ibu mertua saya dan adik beradik suami semuanya dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk melihat keadaan bapa mertua saya.

Jika nampak anak bulan Syawal malam ni, bermakna hari ni adalah hari terkahir berpuasa.... Nampak gayanya semua adik beradik suami saya dan ibu mertua terpaksa beraya di Kelantan. Inilah ketentuan Allah yang tidak pernah kita sangkakan. Kadang-kadang benda yang tidak pernah kita terfikir pun boleh terjadi andai itulah yang terbaik untuk kita:

“ Sesungguhnya urusanNya bila DIA mengkehendaki sesuatu, DIA hanya berkata kepadanya ‘jadi!’ maka jadilah ia” Surah Yasin ayat 82.
Siapalah kita untuk menghalang setiap ketentuanNYA...

Saya akan sambung kisah seterusnya di post akan datang InsyaAllah...... Tunggu ya... Jumpa lagi..

No comments: