isuwanita39
09 March 2011
12 April 2010
Bukan Milik Kita...
Sombong,takabbur,bongkak,riak dan mungkin banyak lagi perkataan yang mempunyai maksud dan pengertian yang sewaktu denganmya.
Kadang-kadang kita sendiri pun terpegun bila melihat kekayaan seseorang tambah lagi dalam dunia yang penuh dengan materialistik ni. Apa tidaknya, melihat kereta besar, rumah besar, pendek kata semuanya besar la. Ia seolah ,meruntun hati kita untuk mendapat itu semua. Betul tak... Tepuk dada tanya iman..
Semua manusia seolah-olah berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan sehingga saya sendiri sedikit terkesimah bila mendengar kata-kata seseorang yang pernah menghadiri kursus motivasi: kata beliau dengan menghadiri kursus tersebut dia dapat banyak ilmu terutama untuk menjadi seorang yang lebih kaya selepas itu.
Wah! kaya, kaya, kaya... duit, duit. duit... yang kaya semakin kaya dan yang susah akan terus mengejar untuk jadi kaya dan kaya...
Bagus-bagus, carilah kekayaan sebanyak mungkin supaya ekonomi orang Islam terus kukuh... tapi biarlah dengan cara yang betul dan gunakanlah setiap rezeki pemberian Allah itu dengan sebaik mungkin, jangan sampai membazir dan menunjuk-nunjuk.
Saya pernah bertanya kepada suami sewaktu kami melihat sebuah kereta mewah yang menjadi perhatian umum pada waktu itu: Abang rasa ada tak orang yang membawa kereta semewah itu dengan tidak ada rasa ingin menunjuk-nunjuk kepada orang apa yang dia ada??? Saya bukan hendak bersangka buru kepada sesiapa tetapi hanya hati ini terfikir sedemikina secara tiba-tiba... Saya biarkan anda menjawab sendiri persoalan saya atau kita boleh bincangkan sama-sama di sini.. wallahua'lam.
Saya menimbulkan tentang isu ini hari ini bukan kerana apa, cuma sekadar untuk mengingatkan anda dan lebih-lebih lagi diri ini yang sentiasa lupa dengan segala nikmat pemberian Allah. Agar dengan menyentuh isu ini akan sedikit menyentuh hati kita agar tidak terus hanyut dengan kemewahan yang diberikan Allah yang sesungguhnya semuanya bersifat sementara sahaja andai ia tidak disulami dengan redha Allah. Biarlah setiap rezeki yang kita dapat akan mendapat keberkatan bagi kehidupan seterusnya...Bersyukurlah atas setiap rezeki yang telah Allah berikan..
Walau sekaya mana kita, tak usahlah itu semua menjadi titik tolak untuk kita berbangga diri. Segalanya bukan milik kita hatta diri kita sendiri... semuanya milik Allah hurrabbi... Setiap pemberian Allah itu adalah amanah, jadi setiap amanah akan dipersoalkan nanti. Setiap yang digunakan ke arah kebaikan, itulah yang akan membantu kita suatu hari nanti di negeri abadi...
07 April 2010
Realiti sebuah kehidupan..
Mata ni rasa tak mengantuk pula malam ni sedangkan jam dah pun pukul 11 mlm... Sepi malam dapat dirasakan bila semua penghuni rumah mula melabuhkan tirai malam dan mungkin ada yang sedang diulit mimpi indah...
Terkenangkan diri sendiri yang kini masih menjadi penghuni setia di rumah kedua orang tua. Dulu sebelum berpindah ke Klang Selangor pun diri ini sekeluarga juga tinggal dengan kedua orang tuaku... Kini sekembalinya ke sini setelah 3 tahun menjadi perantau di negeri orang, saya kembali ke sini lagi... tinggal bersama umi dan abah memandangkan rumah baru yang serba sederhana belum siap sepenuhnya.
Kini rumah saya hampir siap.. entah kenapa hati ini terasa begitu berat untuk melangkah pindah ke rumah baru.. rasa berat hati nak berpisah dengan umi dan abah. Sebenaryna rumah baru saya hanya bersebelahan dengan rumah kedua orang tua, tapi rasa sayu dihati lebih daripada perasaan sedih ketika hendak berpindah ke Klang suatu ketika dulu...
Apa yang saya sedar dan fikirkan adalah bila saya berpindah ke rumah baru nanti, sudah pasti saya tidak dapat terus berbakti seperti biasa kepada orang tua. Sudah pasti saya terpaksa memberi perhatian lebih kepada suami dan anak-anak serta pengurusan rumah sendiri.
"Nanti ani pindah rumah baru, susah la umi sikit," Kesian umi bila saya mendengar keluhan hatinya...
Malas nak memandang redup matanya yang sayu... buat hati ini makin tersentuh...
Doaku panjatkan kepada Allahurabbi agar diberi kekuatan untuk diri ini agar biar apa pun yang terjadi aku masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada orang tua yang terlalu banyak berkorban untuk kami adik-beradik dari kecil sehingga sekarang.
Ya Allah, semoga kau berikan aku kekuatan untuk menjadi isteri yang baik terhadap suamiku, ibu yang baik untuk anak-anakku, anak yang baik untuk kedua orang tuaku, insan yang sentiasa dapat memberi manafaat kepada sesiapa saja dan hamba Mu yang taat kepada Mu, Amin yang rabbal alamin...
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia (termasuk meratakan kasih sayang). Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya (kasih sayang kepada orang lain).” (Riwayat At Tabrani).
30 March 2010
Mengisi Hari Yang pasti Mendatang.........
Bila melihat apa saja, hati terasa ingin untuk berkongsi rasa dan cerita dengan pembaca, tapi terkadang masa terlalu cemburu untuk memberi kesempatan buat diri ini mencatitkan luahan rasa itu melalui kata-kata yang ditinta...
Setiap hari yang berlalu terlalu cepat dirasakan.Ya Allah, kadang-kadang terasa waktu begitu cepat berputar. Baru saja pagi, tiba-tiba melihat jam di tangan sudah menunjukkan pukul 12.00 tgah hari. Kerja yang dibuat belum lagi selesai, malah kerja yang menunggu masih bertimbun, entah bila dapat diselesaikan dengan cara terbaik, bukan sekadar ia selesai tapi biarlah dengan sesempurna mungkin.
Bagi seorang suri rumah seperti diri ini, seperti tiada masa untuk berehat, jika tidak pandai menyusun atur aktiviti. Tambahan lagi jika tiada pembantu di rumah. Bangun pagi, menyediakan sarapan, kemudian hantar anak ke sekolah, balik ke rumah untuk mengemas, memasak. Pukul 2.00 petang, keluar lagi untuk mengambil anak di sekolah rendah dan menengah. Andai ada buat sedikit bisnes untuk membantu suami, terpaksa pula mencuri sedikit masa untuk itu. Petang hari pula usah dicerita, masa itulah nak mengangkat kain, nak melipat, menggosok dan makan petang bersama anak2.
Malam pula, nak siapkan makan malam, nak melihat tugasan sekolah anak-anak....
Oh Tuhan, bukan keluhan yang mahu diluahkan, tapi kalau difikirkan mampukah seorang wanita itu melakukan semua ini???
Itulah kelebihan seorang yang bernama wanita anda dan saya....
Tapi ikhlaskah kita melakukan semua itu???
Redhakah kita dengan semua yang berlaku dan telah ditakdirkan???
Usahlah menghitung apa yang telah kita dapat dari pengorbanan yang telah kita lakukan tapi fikirkanlah setakat mana yang telah kita lakukan untuk kebaikan orang-orang yang kita sayang dan sesiapa saja. Sesungguhnya orang yang terbaik adalah yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain...Subhanallah!
Setiap amal yang baik pasti akan berakhir dengan sesuatu yang baik, insyaAllah...
Marilah kita memulakan setiap hari yang baru dengan azam untuk buat yang terbaik walau pun mungkin apa yang kita lakukan tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... Yang Maha Adil...
Dialah penilai yang Maha Adil....
15 December 2009
Masa.....
"Umi kenapa orang kata masa itu emas?"
Tiba-tiba Umairah bertanya ketika kami sama-sama sedang dalam perjalanan nak balik ke kampung. Umairah antara anak yang paling suka bertanya benda yang mencabar pemikiran kami suami isteri.
"Merah, masa diibaratkan macam emas sebab nak menunjukkan betapa mahalnya nilai masa tu, malah masa lebih mahal dari emas sebanrnya,"
Jawab saya dan membiarkan Umairah berfikir lagi...
"Kenapa masa lebih mahal dari emas umi?,"
Itulah pertanyaan yang saya harapkan keluar dari mulut Umairah.
"Sebab emas masih boleh di jual beli, tapi masa yang berlalu tak mungkin datang lagi, contohnya, cuba Merah fikir Merah dapat tak ulang balik hari kelmarin, atau detik yang baru je lepas... tak dapat kan... jadi itulah nilai masa.. tak mungkin kita dapat beli atau jual di mana saja... kerana ia masa yang berlalu tak mungkin dapat kembali,"
"Oooo baru Merah faham..,"
Jawab Merah sambil mengangguk-ngangguk kepala.
Cuba menyambung lagi agar bukan sahaja Umairah, tapi semua anak-anak yang lain turut menghargai pentingnya masa ,
"Sebab tu la kita perlu cuba melakukan yang terbaik setiap hari, bukan apa, takut kita akan menyesal andai kita membuang masa sia-sia atau menggunakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah... dan jangan lupa untuk bermuhasabah setiap hari akan apa yang telah kita lakukan pada waktu yang telah berlalu. Kita pasti ada melakukan kesilapan, jadi dengan bermuhasabah, kita dapat memperbaiki ksesilapan kita untuk melalui masa-masa yang akan mendatang...,"
Kening Umairah agak berkerut dengan jawapan tu..
"Umi muhasabah tu apa?,"
"Muhasabah tu, kita duduk dan cuba menghitung balik atau memikirkan balik perkara yang telah lepas yang pernah kita lakukan.. kalau baik alhamdulillah, kalau kurang baik kita cuba perbaiki kepada yang lebih baik,"
"Oooo macam tu"
Alangkah ruginya andai masa tidak di hargai. Hargailah masa sebelum kita tiada cukup masa untuk melakukan kebaikan atau masa sudah bukan milik kita lagi. Pengisian masa yang terlalu pantas berlalu akan menentukan siapa kita disisiNya. Andai cara pengisiannya baik, maka baiklah dan begitulah sebaliknya...fikir-fikirkanlah..
Ingat 5 perkara... sebelum 5 perkara...
sihat sebelum sakit...
muda sebelum tua...
kaya sebelum miskin...
lapang sebelum sempit...
hidup sebelum mati...
"(1) Demi Masa! (2) Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. (3) Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. (Surah al-Asr: Ayat 1 – 3).
09 December 2009
"Didik Anak Jadi Pintar"... Buku Ke--3
Tingkatkan kepintaran si kecil
TIDAK tahu duduk diam, mengutip atau mengambil apa sahaja yang ditemui kemudian memasukkannya ke dalam mulut, memanjat meja atau kerusi, berlari turun dan naik tangga, meniru perkataan-perkataan yang tidak elok serta suka melakukan apa yang dilarang merupakan antara kerenah anak-anak kecil kita.
Malah perangai-perangai sebegini ada ketikanya menguji kesabaran ibubapa, terutamanya ibu yang mana lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak.
Kebiasaannya apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, ibu bapa selalu melabelkan kanak-kanak ini degil atau nakal, lantas anak kecil ini dihukum kerana perbuatan mereka yang dirasakan melampaui itu atau dengan perkataan lain tidak mendengar kata.
Sebenarnya, setiap tingkah laku kanak-kanak itu menunjukkan fitrah seorang kanak-kanak yang ingin mengetahui hakikat setiap benda atau setiap perkara yang berada di persekitaran mereka.
Rumah, adalah sekolah pertama untuk kanak-kanak dan ibu bapa adalah guru pertama kepada mereka, sebelum anak-anak itu melalui pendidikan secara formal bermula dari peringkat pra sekolah atau tadika, sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke menara gading serta peringkat pendidikan tertinggi lain.
Hakikatnya, pada usia bayi hingga enam tahun merupakan tahun-tahun penting bagi perkembangan otak kanak-kanak. Malah Islam sendiri amat menitikberatkan aspek pendidikan pada tahap usia ini.
Pada usia tersebut, otak kanak-kanak dalam keadaan kosong dan tiada pengisian, jadi ibu bapa adalah insan yang bertanggungjawab mencorak dan mewarnai perwatakan mereka supaya menjadi insan berguna kepada agama, ibu bapa dan masyarakat.
Sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sabda Rasulullah SAW:
"Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) maka kedua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi. (riwayat Syaikhan)"
Hadis di atas ini turut disokong oleh ramai ahli psikologi yang berpendapat, pada umur tersebut itulah merupakan tahun-tahun yang penting bagi perkembangan tahap kepintaran kanak-kanak.
Semakin banyak yang diketahui maka semakin banyak yang mahu diketahui oleh kanak-kanak. Oleh itu, janganlah cepat bosan dengan kerenah anak-anak tetapi manfaatkanlah masa bersama dengan anak-anak sebaik mungkin. Waima ia dilakukan dalam suasana bersahaja atau ketika melayan mereka bermain atau semasa ibu bapa sedang menguruskan anak-anak.
Menyedari impian dan keinginan semua ibu bapa untuk memiliki anak yang pintar dan cedas maka PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. telah menerbitkan buku berjudul, Didik Anak Jadi Pintar yang ditulis oleh Rohani Sheikh Omar.
Menerusi buku ini, ibu bapa atau mereka yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak antara usia 0-6 tahun dapat mempelajari beberapa aktiviti yang dapat membantu proses membentuk pemikiran anak-anak.
Apatah lagi aktiviti yang disediakan ini begitu praktikal dalam meningkatkan perkembangan kanak-kanak seperti; aktiviti matematik, label dan warna, bahasa, sains, bermain dan permainan kreatif.
Di samping itu juga, ibu bapa akan diberikan idea bagaimana anda dan anak-anak dapat meluangkan masa yang bermakna bersama-sama. Ia merangkumi aktiviti di dalam rumah, di luar rumah, bahasa, bunyi, interaksi, perhubungan dan permainan harian.
Ia semua bertujuan meningkatkan perkembangan anak-anak dari sudut sensor motor, kognitif, mental, sosial, sahsiah, fizikal, kreativiti, komunikasi dan pelbagai perkembangan yang berguna untuk kehidupan anak-anak. Pokoknya, itulah konsep yang cuba ditekankan oleh penulis buku ini.
Petikan Dari Utusan Malaysia online. Oleh:ZUARIDA MOHYIN (10 Dis 2009)
Kandungan Buku:
Bicara Penulis
Pengenalan
Bab 1 Perkembangan dan Aktiviti Anak-anak 0 hingga 2 Tahun
Bab 2 Kehidupan Anak-anak 2 hingga 3 tahun
Bab 3 Kelasakan Anak-anak 3 hingga 4 Tahun
Bab 4 Bersedia ke Sekolah 4 hingga 5 Tahun
Bab 5 Ke Sekolah - Dari 5 Tahun ke Atas
Analisa Terakhir
Sisipan
Bibliografi
Dapatkan di pasaran! MPH, Popular dan lain-lain kedai buku.
Terima Kasih buat semua yang telah banyak memberi sokongan. .....
17 November 2009
Anda Tak Perlu Risau.... Buku Ke Dua..
Alhamdulillah, syukur buku kedua dah selamat ada di pasaran. Kat bawah ni sedikit sinopsis tentang buku ni:
Dalam menangani kehidupan ini, kita perlu kenal siapa diri kita dan kenapa kita dicipta. Siapa kita sebenarnya? Bagaimana kita hendak menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dan dugaan di dalam dunia yang terlalu banyak masalah sekarang. Masalah berkaitan dengan manusia dengan manusia dan manusia dengan pencipta yakni Allah SWT. Bagaimana semua ini perlu diseimbangkan?
Sebenarnya buku ini penting untuk mereka yang sentiasa berasa risau atau sengsara dalam melalui kehidupan yang mencabar sekarang. Ia juga sesuai dibaca di kala sendirian. Buku ini juga sesuai untuk mereka yang mahu mencari erti sebuah kehidupan.
Dan yang paling penting buku ini adalah satu perkongsian ilmu antara saya dan semua yang sudi memiliki dan membaca buku ni.
Di dalam buku ini antaranya saya ada membincangkan tentang erti sebuah kehidupan, sebuah keikhlasan, indahnya senyuman, nyatakan kasih sayang sebelum terlewat, hanya dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang dan banyak lagi yang berkaitan dengan kehidupan kita seharian...
Saya amat berharap semua yang membaca buku ini akan mendapat sesuatu yang bermanafaat untuk meneruskan kehidupan di dunia ini dengan lebih bermakna bagi kelangsungan kehidupan kita di akhirat nanti... insyaAllah.
Dapatkan buku ni di kedai2 buku MPH, POPULAR
SELAMAT MEMBACA!!! DAN TERIMA KASIH...