06 November 2008

IKHLASKAH KITA

Tanda kita melakukan sesuatu dengan ikhlas adalah selepas kita melakukannya kita akan merasa takut adakah apa yang kita lakukan diterima Allah atau tidak. Kita akan merasa takut, sedih dan harap agar setiap amalan diterima Allah. Dan kita tidak pernah mengharapkan apa-apa dari manusia samada pujian atau penghargaan. Yang paling penting adalah pandangan Allah…

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Mereka ini adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedekah tetapi ia takut amalannya itu tidak diterima.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Teringat saya akan sebuah cerita dari seberang yang pernah saya tonton. Tajuknya ‘Kiamat Sudah dekat’. Cerita itu mengisahkan bagaimana seorang pemuda yang tidak pernah solat dan tidak pernah mempelajari ilmu agama secara mendalam. Pemuda itu telah bertemu dengan seorang gadis yang solehah. dia ingin memperisterikan gadis tersebut. Dia berjumpa dengan ayah gadis tersebut untuk menyatakan hasrat hatinya. Tetapi ayah gadis tersebut telah memberikan syarat supaya pemuda itu belajar solat dan belajar mengaji Al-Quran terlebih dahulu. Sejak dari itu pemuda itu dengan tekun mempelajari solat dan mengaji. Bila dia merasakan dia sudah boleh solat lima waktu dan mengaji dengan agak baik, dia pergi ke rumah gadis itu semula. Dia memberitahu ayah gadis tersebut bahawa dia sudah tidak meninggalkan solat dan sudah boleh mengaji. Ayah gadis tersebut meletakkan satu lagi syarat iaitu pemuda itu perlu belajar ‘ilmu ikhlas’ sebelum diberi keizinan untuk menikahi anaknya. Pemuda itu pulang ke rumah dengan hati yang agak kecewa kerana dia sendiri tidak mengerti akan apa itu ‘ilmu ikhlas’. Tapi kerana gadis idaman itu, dia cuba mencari dan membaca banyak buku yang berkaitan dengan keikhlasan. Lama kelamaan dia merasakan dia tidak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh ayah gadis tersebut. Dia menemui ayah gadis tersebut dan memberitahu bahawa dia sememangnya tidak layak untuk gadis tersebut kerana ilmunya yang terlalu cetek. Walaubagaimanapun dia berterima kasih kerana sejak bertemu dengan ayah gadis itu, dia telah banyak berubah. Dia kini sudah mengenali solat, mengaji dan hukum hakam dalam Islam. Bila mendengar kata-kata pemuda itu, ayah gadis itu pun berkata pemuda itu telah berjaya mempelajari ilmu ikhlas dan dia di terima menjadi menantunya.

Jelaslah keikhlasan adalah sesuatu yang sukar dinyatakan kerana ia lahir dari hati yang suci dan tulus. Bersyukurlah andai kita dapat memiliki hati yang tulus dan ikhlas….Bukan semua orang yang dapat memilikinya…

No comments: