15 December 2009

Masa.....






"Umi kenapa orang kata masa itu emas?"

Tiba-tiba Umairah bertanya ketika kami sama-sama sedang dalam perjalanan nak balik ke kampung. Umairah antara anak yang paling suka bertanya benda yang mencabar pemikiran kami suami isteri.

"Merah, masa diibaratkan macam emas sebab nak menunjukkan betapa mahalnya nilai masa tu, malah masa lebih mahal dari emas sebanrnya,"

Jawab saya dan membiarkan Umairah berfikir lagi...

"Kenapa masa lebih mahal dari emas umi?,"

Itulah pertanyaan yang saya harapkan keluar dari mulut Umairah.

"Sebab emas masih boleh di jual beli, tapi masa yang berlalu tak mungkin datang lagi, contohnya, cuba Merah fikir Merah dapat tak ulang balik hari kelmarin, atau detik yang baru je lepas... tak dapat kan... jadi itulah nilai masa.. tak mungkin kita dapat beli atau jual di mana saja... kerana ia masa yang berlalu tak mungkin dapat kembali,"

"Oooo baru Merah faham..,"

Jawab Merah sambil mengangguk-ngangguk kepala.

Cuba menyambung lagi agar bukan sahaja Umairah, tapi semua anak-anak yang lain turut menghargai pentingnya masa ,

"Sebab tu la kita perlu cuba melakukan yang terbaik setiap hari, bukan apa, takut kita akan menyesal andai kita membuang masa sia-sia atau menggunakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah... dan jangan lupa untuk bermuhasabah setiap hari akan apa yang telah kita lakukan pada waktu yang telah berlalu. Kita pasti ada melakukan kesilapan, jadi dengan bermuhasabah, kita dapat memperbaiki ksesilapan kita untuk melalui masa-masa yang akan mendatang...,"

Kening Umairah agak berkerut dengan jawapan tu..

"Umi muhasabah tu apa?,"

"Muhasabah tu, kita duduk dan cuba menghitung balik atau memikirkan balik perkara yang telah lepas yang pernah kita lakukan.. kalau baik alhamdulillah, kalau kurang baik kita cuba perbaiki kepada yang lebih baik,"

"Oooo macam tu"

Alangkah ruginya andai masa tidak di hargai. Hargailah masa sebelum kita tiada cukup masa untuk melakukan kebaikan atau masa sudah bukan milik kita lagi. Pengisian masa yang terlalu pantas berlalu akan menentukan siapa kita disisiNya. Andai cara pengisiannya baik, maka baiklah dan begitulah sebaliknya...fikir-fikirkanlah..

Ingat 5 perkara... sebelum 5 perkara...

sihat sebelum sakit...
muda sebelum tua...
kaya sebelum miskin...
lapang sebelum sempit...
hidup sebelum mati...

"(1) Demi Masa! (2) Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. (3) Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. (Surah al-Asr: Ayat 1 – 3).

09 December 2009

"Didik Anak Jadi Pintar"... Buku Ke--3


gambar buku didik anak jadi pintar




Tingkatkan kepintaran si kecil


TIDAK tahu duduk diam, mengutip atau mengambil apa sahaja yang ditemui kemudian memasukkannya ke dalam mulut, memanjat meja atau kerusi, berlari turun dan naik tangga, meniru perkataan-perkataan yang tidak elok serta suka melakukan apa yang dilarang merupakan antara kerenah anak-anak kecil kita.

Malah perangai-perangai sebegini ada ketikanya menguji kesabaran ibubapa, terutamanya ibu yang mana lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak.

Kebiasaannya apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, ibu bapa selalu melabelkan kanak-kanak ini degil atau nakal, lantas anak kecil ini dihukum kerana perbuatan mereka yang dirasakan melampaui itu atau dengan perkataan lain tidak mendengar kata.

Sebenarnya, setiap tingkah laku kanak-kanak itu menunjukkan fitrah seorang kanak-kanak yang ingin mengetahui hakikat setiap benda atau setiap perkara yang berada di persekitaran mereka.

Rumah, adalah sekolah pertama untuk kanak-kanak dan ibu bapa adalah guru pertama kepada mereka, sebelum anak-anak itu melalui pendidikan secara formal bermula dari peringkat pra sekolah atau tadika, sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke menara gading serta peringkat pendidikan tertinggi lain.

Hakikatnya, pada usia bayi hingga enam tahun merupakan tahun-tahun penting bagi perkembangan otak kanak-kanak. Malah Islam sendiri amat menitikberatkan aspek pendidikan pada tahap usia ini.

Pada usia tersebut, otak kanak-kanak dalam keadaan kosong dan tiada pengisian, jadi ibu bapa adalah insan yang bertanggungjawab mencorak dan mewarnai perwatakan mereka supaya menjadi insan berguna kepada agama, ibu bapa dan masyarakat.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sabda Rasulullah SAW:

"Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) maka kedua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi. (riwayat Syaikhan)"

Hadis di atas ini turut disokong oleh ramai ahli psikologi yang berpendapat, pada umur tersebut itulah merupakan tahun-tahun yang penting bagi perkembangan tahap kepintaran kanak-kanak.

Semakin banyak yang diketahui maka semakin banyak yang mahu diketahui oleh kanak-kanak. Oleh itu, janganlah cepat bosan dengan kerenah anak-anak tetapi manfaatkanlah masa bersama dengan anak-anak sebaik mungkin. Waima ia dilakukan dalam suasana bersahaja atau ketika melayan mereka bermain atau semasa ibu bapa sedang menguruskan anak-anak.

Menyedari impian dan keinginan semua ibu bapa untuk memiliki anak yang pintar dan cedas maka PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. telah menerbitkan buku berjudul, Didik Anak Jadi Pintar yang ditulis oleh Rohani Sheikh Omar.

Menerusi buku ini, ibu bapa atau mereka yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak antara usia 0-6 tahun dapat mempelajari beberapa aktiviti yang dapat membantu proses membentuk pemikiran anak-anak.

Apatah lagi aktiviti yang disediakan ini begitu praktikal dalam meningkatkan perkembangan kanak-kanak seperti; aktiviti matematik, label dan warna, bahasa, sains, bermain dan permainan kreatif.

Di samping itu juga, ibu bapa akan diberikan idea bagaimana anda dan anak-anak dapat meluangkan masa yang bermakna bersama-sama. Ia merangkumi aktiviti di dalam rumah, di luar rumah, bahasa, bunyi, interaksi, perhubungan dan permainan harian.

Ia semua bertujuan meningkatkan perkembangan anak-anak dari sudut sensor motor, kognitif, mental, sosial, sahsiah, fizikal, kreativiti, komunikasi dan pelbagai perkembangan yang berguna untuk kehidupan anak-anak. Pokoknya, itulah konsep yang cuba ditekankan oleh penulis buku ini.

Petikan Dari Utusan Malaysia online. Oleh:ZUARIDA MOHYIN (10 Dis 2009)

Kandungan Buku:


Bicara Penulis

Pengenalan

Bab 1 Perkembangan dan Aktiviti Anak-anak 0 hingga 2 Tahun

Bab 2 Kehidupan Anak-anak 2 hingga 3 tahun

Bab 3 Kelasakan Anak-anak 3 hingga 4 Tahun

Bab 4 Bersedia ke Sekolah 4 hingga 5 Tahun

Bab 5 Ke Sekolah - Dari 5 Tahun ke Atas

Analisa Terakhir

Sisipan

Bibliografi


Dapatkan di pasaran! MPH, Popular dan lain-lain kedai buku.

Terima Kasih buat semua yang telah banyak memberi sokongan. .....